Perpaduan merupakan suatu yang diperlukan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral tinggi. Ikatan perpaduan boleh dicapai melalui kehidupan berkomuniti (unit kejiranan). Unit kejiranan berperanan sebagai salah satu tempat untuk berinteraksi. Prinsip yang telah digunapakai di zaman dahulu banyak menitikberatkan hal ini. Dua prinsip asas konsep kejiranan yang dikaji iaitu prinsip di Zaman Revolusi Industri dan berasaskan Islam. Analisis perbandingan bagi Kedua-dua konsep hanya dilihat dari segi definisi kejiranan, elemen fizikal dan sosial. Definisi kejiranan Kedua-dua prinsip berbeza dari segi asas pembentukannya, dimana asas yang digunakan ialah untuk kepentingan manusia, sedangkan Islam menggunakan asas agama. Rumusan daripada analisis ini ialah, walaupun kedua-dua prinsip ini dipraktikkan di zaman yang berbeza, tetapi ianya mempunyai prinsip yang hampir sama dari segi tujuannya. Kedua-dua prinsip ini secara umumnya bertujuan untuk mendorong wujudnya interaksi sosial. Dengan kata lain, ianya mementingkan hubungan manusia dengan manusia. Rumusan hasil analisa juga dikaitkan dengan piawaian semasa : terdapat ciri-ciri yang mempunyai persamaan seperti hirarki jalan, jenis kawasan lapang dan piawaian-piawaian penyediaan elemen. Cadangan garispanduan meliputi aspek rekabentuk unit kejiranan, perletakan elemen rumah, sistem sirkulasi, kawasan lapang dan kemudahan awam. Aspek sosial merupakan dorongan dari perletakan fizikal dan penggunaan manusia di dalam satu alam persekitaran ini. Tidak dapat dinafikan aspek fizikal dalam unit kejiranan memainkan peranan penting dalam mendorong berlakunya interaksi sosial. Dari itu, pihak jururancang fizikal atau ahli profesional yang berkenaan perlulah menyedari peri pentingnya merancang elemen fizikal yang dapat mendorong berlakunya interaksi sosial, khususnya dalam unit kejiranan.
Perpaduan merupakan suatu yang diperlukan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral tinggi.